Rabu, 18 Januari 2017 | 7:09pm

Mora calon kemudi JDT, ganti Gomez

PRESIDEN JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOD BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak lagi menggunakan khidmat Mario Gomez untuk membimbing skuad itu pada saingan Liga Super musim ini.

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dalam kenyataan rasmi di laman JOHOR Southern Tiger berkata, Gomez bersetuju untuk membawa haluan sendiri.

"Saya ingin membuat satu pengumuman bahawa JDT dan Mario (Gomez) telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.

"Keputusan itu penting dari segala-galanya. Walau bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih yang dianggap legenda JDT.

"Tidak dinafikan sumbangan yang beliau telah berikan sepanjang tempoh perkhidmatannya selaku jurulatih apabila berjaya membawa pasukan ini menjuarai piala pada saingan di Liga Malaysia dan Piala AFC," kata Tunku Tun Aminah dalam kenyataan itu.

Sepanjang pembabitan Gomez selaku pengendali JDT, beliau berjaya membawa skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Sumbangsih pada musim lalu dan memastikan pasukan itu merangkul hatrik kejuaraan liga, selain muncul juara Piala AFC musim 2015.

Gomez menyertai JDT selepas melepaskan jawatan ketika bersama South China AA pada awal dua musim lalu untuk membimbing pasukan itu mengharungi kempen liga elit domestik dan Piala AFC pada musim 2015 dan 2016.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi siapakah yang bakal menggantikan Gomez, difahamkan pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Benjamin Mora bakal mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih JDT musim ini.

Berita Harian X