Rabu, 18 Januari 2017 | 8:55pm

Peniaga R&R Perasing mengeluh rugi

CHUKAI: Peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2), dekat Perasing mendakwa mengalami kerugian berikutan ketiadaan pengunjung memasuki hentian terbabit.

Justeru, mereka meminta kerajaan negeri melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah dihadapi itu.

Peniaga, Norakmal Alias, 36, berkata sejak memulakan perniagaan menjual keropok di situ, dia mengalami kerugian setiap hari dengan pendapatannya hanya antara RM10 dan RM15.

"Sebaliknya, setiap bulan saya perlu bayar sewa sebanyak RM530 dan keadaan ini menyebabkan saya terpaksa mencari pendapatan lain untuk melunaskan sewa," katanya.

Norakmal berkata, faktor lokasi hentian terbabit yang terletak sejauh dua kilometer dari jalan utama menyebabkan orang ramai tidak berminat berhenti di situ.

Seorang lagi peniaga, Mokhsin Mokhtar, 37, berkata penyebaran berita palsu kononnya makhluk halus berkeliaran di kawasan itu turut menjadi punca pengguna LPT2 keberatan singgah di hentian itu.

Katanya, sejak memulakan perniagaan pada tahun 2015, peniaga tidak pernah menemui makhluk halus seperti yang disebarkan di media sosial.

"Pada musim perayaan, memang ramai pengunjung singgah tetapi pada hari biasa, nak dapat 10 pelanggan pun susah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan peniaga di situ bagi mencari kaedah terbaik mengatasi masalah itu. 

"Ini termasuk menaik taraf kios sedia ada supaya nampak lebih menarik dan mampu menggamit pengguna lebuh raya itu," katanya.

137 dibaca
Berita Harian X