Rabu, 18 Januari 2017 | 9:51pm

Wajah baharu Lot 10 akan tarik pengunjung muda


LOT 10 bakal berwajah baharu.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah Lot 10, yang lebih dikenali dengan ciri bangunannya berwarna hijau di Bukit Bintang, akan berwajah baharu dan dijangka menjadi pemangkin bagi pusat beli-belah dan hiburan di kawasan itu sekali lagi.

Pusat beli-belah itu, yang dibuka pada 1990 oleh YTL Corporation Bhd, akan berdasarkan kepada empat pemacu utama untuk menarik pengguna muda yang celik teknologi - bertenaga, menyeronokkan, kreatif dan saling berhubung.

Joseph Yeoh, Naib Presiden YTL Land Development Bhd, cabang hartanah YTL Corp, berkata industri peruncitan di Malaysia kini menghadapi cabaran, dengan lebihan penawaran pusat beli-belah baharu dan trend permintaan pengguna yang cepat berubah.

"Kami mula melaksanakan transformasi untuk menyelaraskan pembangunan perkakasan dan perisian kami dengan visi baharu Lot 10.

"Destinasi perniagaan yang dinamik untuk pengguna muda dengan persekitaran digital terkini yang menyeronokkan, menghiburkan dan menarik.

"Menjadi hanya pusat beli-belah tidak lagi memadai, Lot 10 perlu menjadi sebuah destinasi sosial pilihan," katanya kepada pemberita selepas majlis pratonton media eksklusif pusat beli-belah itu di sini, hari ini.

Dijangka siap pada suku akhir 2017, pusat beli-belah itu akan menyaksikan proses transformasi yang menyeluruh termasuk pemasangan eskalator yang baharu, lif dan tempat letak kereta yang direka bentuk semula.

Sejajar untuk menarik golongan muda, Lot 10 merancang untuk bekerjasama dengan sekolah seni dan reka bentuk untuk mereka bentuk ruang di pusat beli-belah itu dengan kreatif, selain mempamerkan hasil karya seni oleh pereka muda. - BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X