Khamis, 19 Januari 2017 | 12:03am

Aiman dengar nasihat ibu, cari pasangan bukan orang seni

MENCIPTA nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci, bintang remaja, Aiman Tino, belum bersedia untuk bercinta kerana ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian.

Aiman, 18, berkata jika masanya sudah sampai untuk memikirkan soal perasaan, beliau akan mengikut nasihat diberikan oleh ibunya supaya mencari pasangan yang bukan berkecimpung dalam bidang sama.

"Buat masa ini, saya belum bersedia bercinta kerana kerjaya sebagai penyanyi harus diutamakan. Mungkin beberapa tahun lagi baru saya bersedia untuk berkasih.

AIMAN kini tampil dengan single kedua berjudul Permata Cinta, hasil karya komposer baharu, Apit. - Foto Rohanis Shukri

"Saya rapat dengan ibu bapa, jadi penting untuk 'si dia' memenangi hati mereka terlebih dulu. Jika mereka sudah memberikan kebenaran, maka saya juga turut senang hati menjalinkan hubungan cinta.

"Jika mengikut nasihat diberikan oleh ibu saya, dia menyarankan untuk memilih pasangan yang bukan berasal daripada bidang yang sama supaya tidak timbul konflik pada masa depan," katanya kepada BH.

Aiman berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan dirinya sudah mempunyai buah hati, atau ada peminat perempuan yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi.

Maklum saja, sebagai remaja paling popular di arena seni ketika ini, tentu saja Aiman atau nama penuhnya Muhammad Aiman Yusri menjadi perhatian ramai peminat, terutama dalam kalangan gadis muda.

Artis naungan Aries Music Production ini juga enggan memilih gadis yang mengenali beliau sebagai anak seni, sebaliknya kerana karakter dan personalitinya sendiri.

"Sukar untuk saya merungkaikan ciri-ciri gadis idaman, namun apa yang pasti biarlah gadis itu dapat menerima saya seadanya. Bukan kerana saya Aiman Tino, sebaliknya dia selesa dengan diri saya sebagai manusia biasa.

GADIS bertudung dan bersederhana menjadi pilihan Aiman. - Foto Rohanis Shukri

"Gadis bertudung dan bersederhana mencuri perhatian saya. Seandainya dibuka pintu hati mengenali seseorang, pastinya ciri sebegitu yang membuka hati saya," kata Aiman.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Aiman bakal beraksi di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) pada Ahad ini dengan mempertaruhkan lagu popularnya itu, yang juga ciptaan bapanya sendiri.

"Berdebar-debar rasanya apabila mengenangkan persembahan pada Ahad nanti, maklumlah saya masih hijau jika dibandingkan dengan nama gah lain. Saya berharap semua yang dirancang akan berjalan lancar.

"Kami akan mengetengahkan elemen drama pada persembahan terbabit bagi melengkapkan lagu Ku Rela Dibenci, selain dapat membuatkan saya menghayatinya dengan lebih baik. Saya berharap penonton dapat menitiskan air mata dengan plot kami persembahkan nanti," kata Aiman.

Selepas lagu Ku Rela Dibenci, Aiman kini tampil pula dengan single kedua berjudul Permata Cinta, hasil karya komposer baharu, Apit.

INFO:

* Jika single pertama, Ku Rela Dibenci, dicipta oleh bapanya, Yusri Ishak, manakala lirik oleh ibunya, Reina, single kedua pula dicipta Apit dan lirik ditulis Yusri.

* Video rasmi Ku Rela Dibenci ditonton hampir 30 juta kali di YouTube.

* Permata Cinta juga semakin mendapat perhatian apabila video rasminya ditonton 4 juta kali, manakala video liriknya pula mencecah 5.7 juta kali tontonan di laman video terbabit.

AIMAN Tino mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AIMAN Tino bersama kedua ibu bapanya, Yusri Ishak dan Riena. - Foto Amirudin Sahib
Berita Harian X