Khamis, 19 Januari 2017 | 8:24am
Etnik Muslim Rohingya sering ditindas penganut Buddha. - Gambar hiasan

Bantu Rohingya elak krisis kemanusiaan

Saban hari kita di Malaysia didedahkan isu pelarian Rohingya dan kesengsaraan mereka di bumi Arakan atau Rakhine, Myanmar. Sebahagian mereka diseksa, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman sendiri sejak puluhan tahun lalu. Pertelingkahan kaum dan penghapusan etnik Muslim Rohingya oleh penganut Buddha menjadi punca mereka lari, menyabung nyawa menyeberang sungai Naf masuk ke sempadan Bangladesh. Isu ini bertambah rumit diselesaikan apabila Kerajaan Myanmar tidak ambil tindakan sewajarnya.

Selepas lebih sehari perjalanan melalui jalan udara dan darat, saya berada di Cox's Bazar - bandar dekat sempadan Bangladesh-Myanmar. Ada lima penempatan utama khemah pelarian Rohingya di situ. Namun, hanya khemah Kutupalong dan Nayapara diiktiraf dan diselia Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dan dikawal Kerajaan Bangladesh.

Dianggarkan lebih 30,000 pelarian Rohingya berdaftar di dua kem ini. Selebihnya, ratusan ribu etnik Rohingya dikategorikan penduduk asing tanpa izin tinggal di luar khemah penempatan atau kampung. Pelarian Rohingya juga tidak dibenar keluar dari kawasan khemah untuk cari nafkah atau bekerja sendiri mengikut status pelarian diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka terpaksa bergantung hidup kepada pertolongan dan kerja seharian tempatan yang diselia UNHCR dan bantuan Kerajaan Bangladesh.

Ramai tinggal dalam hutan

Ini bermakna, aktiviti seharian sangat terhad dengan asas kehidupan bergantung kepada belas ihsan penderma. Tiga penempatan lain didakwa dibina tanpa kebenaran serta tidak diberi pengiktirafan Kerajaan Bangladesh. Pelarian Rohingya di luar khemah rasmi juga tidak ada status rasmi pelarian berdaftar. Ramai tinggal di merata-rata tempat dalam hutan dan pergunungan sempadan di antara Bangladesh dan Myanmar.

Mereka lebih rela duduk di situ daripada diseksa atau dibunuh penganut Buddha di Rakhine. Dianggarkan lebih 200,000 pelarian berada di luar dari khemah rasmi, dan mereka tidak berdaftar sebagai pelarian rasmi. Jumlah pelarian besar ini beri tekanan sosial dan politik ke atas Bangladesh, sedangkan isu sebenar ialah Myanmar menafikan hak rakyat sendiri.

Nasib malang etnik Rohingya yang lari dari tanah air sendiri, terpaksa pula berhadapan krisis kemanusiaan dan keperluan asas hidup. Apatah lagi, khemah Kutupalong ini terbina sejak 1992. Sebahagian besar kawasan itu dipenuhi binaan seperti khemah beratapkan plastik dan daun nipah, berdindingkan tanah liat, tanpa sistem saliran dan kumbahan.

Penempatan juga tidak mempunyai sumber paip air bersih mencukupi. Mereka bergantung kepada telaga tiub menggunakan pam tangan, dan kadang-kadang air yang keluar agak masin. Tiada sistem penapisan disediakan. Juga, tiada punca elektrik untuk kegunaan seharian dan hanya dibekalkan solar elektrik untuk tempat tertentu sahaja. Sumber elektrik hanya disalurkan ke bangunan kekal. Kepadatan pelarian agak tinggi di dalam dan luar penempatan mencecah lebih 150,000 menambahkan masalah sosial dan mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

Oleh kerana struktur penempatan sangat daif, kanak-kanak atau dewasa menghadapi masalah ketika musim panas, hujan dan musim sejuk. Kanak-kanak terpaksa bermain di kawasan lapang di luar rumah, kerana keadaan rumah sempit dan panas. Ketika musim hujan, ada penempatan mudah ditenggelami air kerana tiada sistem saliran. Suasana di jalan masuk utama pula sesak kerana ada individu berjual-beli dan berniaga, serba sedikit melegakan kebergantungan mereka kepada bantuan Kerajaan Bangladesh. Ada sebahagian pelarian menjalankan kerja pertanian, penternakan, menjahit dan menjual makanan serta minuman.

Penulis sempat bergaul dengan pelarian Rohingya dan meninjau sebahagian kecil kawasan dan hanya sempat memerhatikan secara kasar tahap fizikal dan kesihatan mereka. Kedua-dua khemah rasmi diselia pegawai UNHCR dan mereka dibekalkan makanan asas, pertolongan perubatan dan kemudahan sekolah rendah untuk kanak-kanak. Bagaimanapun, tiada kemudahan pembelajaran menengah disediakan.

Kerajaan Bangladesh juga menghantar jururawat dan pembantu perubatan pada waktu lawatan tertentu. Cuma, kemudahan ini hanya untuk mereka yang ada kad pelarian UNHCR. Akibat tiada sistem perparitan dan kumbahan di kem, penularan jangkitan pelbagai bentuk penyakit mudah berlaku.

Sumber air bersih terhad

Begitu juga dengan keterbatasan sumber air bersih. Ia saling berkait-rapat dengan tahap kebersihan dan kesihatan pelarian di kem. Sumber minuman dan air bersih terhad dan penggunaan air untuk keperluan kebersihan tubuh badan sangat kritikal. Ramai kanak-kanak bermain tanpa alas kaki, tanpa seluar atau baju, dan membuang najis merata-rata. Walaupun ada tandas cangkung disediakan di beberapa tempat, jumlahnya sangat terhad.

Ditambah pula kesedaran kesihatan dalam kalangan mereka terlalu minimum. Kepadatan khemah penempatan dan kedudukan rumah sementara yang padat dan sampah-sarap bertakung, memudahkan individu dijangkiti penyakit. Isu kebersihan perlu ditangani segera. Begitu juga, akibat sumber makanan terhad sekadar apa yang diterima dari UNHCR atau bantuan kerajaan. Isu kekurangan zat makanan sangat mudah dilihat. Ini menambahkan derita mereka.

Saya pasti sekiranya pembaca melihat sendiri penderitaan hidup etnik Rohingya di situ, akan terpanggil untuk membantu. Kita hormati dasar tertentu Kerajaan Bangladesh ke atas pelarian ini, namun sangat wajar kita meminta Kerjasama Dhaka membenarkan pihak luar atau badan bukan kerajaan (NGO) membantu atau me lantik NGO tempatan membantu. Peranan dan bantuan kita bertujuan mengelak krisis kemanusiaan pada abad ke-21 ini.

Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X