Khamis, 19 Januari 2017 | 9:13am

Mangsa banjir di Kota Marudu menurun

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan mangsa banjir di Kota Marudu, petang semalam. - Foto Ihsan APM Sabah

KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir di Kota Marudu menurun kepada 2,750 orang daripada 843 keluarga pagi ini, berbanding 2,874 membabitkan 851 keluarga, petang semalam.

Bagaimanapun, pusat pemindahan banjir kekal 11 lokasi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata 18 kampung terjejas akibat banjir manakala lima jalan dinaiki air.

"Lima laluan yang dilimpahi ialah Jalan Kamlung Beliajung, Jalan Kampung Longop Jalan Kampung Damai, Jalan Kampung Teritipan dan Jalan Kampung Tandek.

"Bagaimanapun, jalan masih boleh dilalui semua jenis kenderaan bermula di Simpang 3 Langkon, Kota Marudu ke arah Kudat yang sebelum ini digenangi air setinggi 0.45 meter.

"Kami turut memantau keselamatan mangsa yang tidak berpindah termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi selama tiga hari jika banjir berlarutan, " katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, bacaan terkini Sungai Bongon pada jam 7 pagi tadi ialah 7.50 meter, peningkatan ke paras bahaya berbanding 7.35 meter petang semalam.

Mulliadi berkata, peningkatan disebabkan air laut pasang.

Katanya, sebuah pusat pemindahan turut dibuka di Pitas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas yang menempatkan 77 mangsa banjir daripada 26 keluarga.

Berita Harian X