Khamis, 19 Januari 2017 | 9:20am
Lima mangsa bot karam diselamatkan oleh nelayan (kiri) dalam kejadian kira-kira 17 batu nautika Barat Laut perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, di pejabat Daerah Maritim Labuan. - Foto ihsan APMM

Operasi cari mangsa bot karam diteruskan


Lokasi pencarian operasi SAR kru bot kumpit yang karam di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud. - Foto ihsan APMM

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan tekong bot yang masih hilang selepas bot kumpit dinaiki karam di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, kelmarin, diteruskan pagi ini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata operasi SAR bagi mengesan tekong bot, Abdullah Salin Kunsali, 62, disambung jam 6.30 pagi tadi selepas ditangguhkan jam 6.30 petang semalam.

"Operasi SAR disambung pagi ini namun mangsa belum ditemui setakat jam 8.30 pagi ini," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, bot kumpit dinaiki lapan kru warga Filipina karam, kira-kira 17 batu nautika barat laut perairan Pulau Mantanani.

Ketika kejadian, bot berkenaan dalam perjalanan membawa sejumlah muatan beras dan gula dari Labuan ke Filipina.

Sejurus kejadian, lima mangsa diselamatkan bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, manakala tiga lagi hilang.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8 malam kelmarin, dua daripada tiga mangsa yang hilang iaitu Alan Darain Pahellong, 46; dan Al-Rajib Malali, 31, ditemui terapung di perairan berkenaan oleh sekumpulan pemancing sebelum dibawa ke Kota Kinabalu.

144 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »