Khamis, 19 Januari 2017 | 10:06am
DONALD Trump.

Trump 'terganggu' pengurangan hukuman Manning

WASHINGTON: Pentadbiran berikutnya pimpinan Donald Trump mengkritik keputusan Presiden Barack Obama mengurangkan hukuman penjara 35 tahun bekas penganalisis perisikan tentera, Chelsea Manning, yang disabitkan dengan kesalahan membocorkan dokumen sulit.

Jurucakap Trump, Sean Spicer berkata, Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS) itu 'terganggu dengan tindakan berkenaan' dan menganggap 'wujud sedikit unsur ironi dan berat sebelah di pihak presiden.

Anggota Republikan sebulat suara menyertai Trump mengkritik Obama dan menyifatkan Manning membahayakan nyawa tentera, diplomat dan pegawai perisik AS.

Jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest, sebaliknya melepaska tuduhan hipokrit ke atas Republikan kerana mempertahankan pengasas WikiLeaks Julian Assange, yang menerbitkan maklumat dibocorkan Manning.

Kelmarin, Obama mengumumkan akan memendekkan hukuman Manning yang disabitkan pada 2013 daripada 35 tahun kepada hanya tujuh tahun dan bakal dibebaskan Mei ini.

Pada majlis sarapan anjuran akhbar Christian Science Monitor, Earnest berkata, Obama membuat keputusan itu 'bagi meneruskan keadilan' dan tempoh hukuman Manning, yang secara ketara amat panjang berbanding tahanan lain dengan jenayah sama, menjadi faktor keputusan Presiden AS itu.

Katanya, cara Republikan mengkritik pengurangan hukuman itu seolah-olah mereka hipokrit kerana menyokong Trump yang mempertahankan WikiLeaks dan Assange.

"Ini adalah paparan menakjubkan berhubung ketidakjujuran intelek. Ia tidak jauh beza daripada pendirian diambil," kata Earnest.

Manning sebelum ini ditahan pada 2010 selepas membocorkan 700,000 fail tentera dan kabel diplomatik kepada WikiLeaks.

Lahir sebagai Bradley Manning, dia pernah cuba membunuh diri dua kali di penjara dan mogok lapar dalam usaha memaksa tentera membenarkannya menjalani pembedahan menukar jantina.

Dua kebocoran maklumat oleh Manning dan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Nasional (NSA), Edward Snowden, ketika pentadbiran Obama menjadi pendedahan terbesar rahsia kerajaan AS dalam sejarah.

Sementara itu, WikiLeaks berkata, Assange mungkin diekstradisi ke AS untuk berdepan siasatan selepas pengurangan hukuman Manning, namun hanya jika haknya 'dijamin.'

"Assange gembira untuk ke AS dengan syarat semua haknya dijamin," kata WikiLeaks menerusi Twitter, pada hari yang sama Obama mengurangkan hukuman Manning.

Obama bagaimanapun tidak memberi pengampunan atau pengurangan hukuman ke atas Snowden, yang gagal diekstradisi AS dari Russia. - AGENSI

51 dibaca
Berita Harian X