Khamis, 19 Januari 2017 | 1:14pm

Pekerja hotel mengaku salah menyamar pegawai imigresen

Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa Zamri Che Rose (kiri) yang mengaku bersalah di mahkamah sesyen atas tuduhan menyamar sebagai pegawai Imigresen bagi tujuan menerima suapan. - Foto ihsan SPRM

ALOR SETAR: Seorang pekerja hotel mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan meminta suapan dan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Zamri Che Rose, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, sejurus ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, Zamri didakwa meminta suapan RM2,000 menerusi panggilan telefon, daripada Abdul Rahman Abu Bakar pada jam 1.52 petang 11 Januari lalu, sebagai suapan untuk tidak mengganggu dan menangkap pekerja asing yang bekerja dengan lelaki itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba menerima rasuah RM2,000 daripada Amir Mansor, manakala pertuduhan ketiga kerana menyamar sebagai Pegawai Imigresen bernama Kamarulzaman Idrus bagi tujuan menerima suapan.

Untuk kesalahan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukannya di parkir Pasaraya Cmart, Jalan Istana Kuning, di sini, kira-kira jam 10.35 malam pada 11 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dan hakim menetapkan 24 Januari ini sebagai tarikh penghakiman.

Berita Harian X