Khamis, 19 Januari 2017 | 3:26pm

Bank Negara kekalkan OPR pada 3 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan kepada tiga peratus.

Penanda aras kadar faedah pinjaman ini diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, ekonomi global terus berkembang pada kadar sederhana sementara aktiviti ekonomi di negara maju utama meningkat.

Di Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat 2016, katanya.

BNM berkata, pada masa akan datang aktiviti sektor swasta akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan.

"Penggunaan swasta dijangka disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, di samping sokongan pelbagai langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna.

"Aktiviti pelaburan pula meskipun sederhana akan disokong oleh projek pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

"Dalam sektor luaran, jangkaan peningkatan eksport sedikit sebanyak akan menyokong pertumbuhan.

"Secara keseluruhan, ekonomi kekal pada landasan pertumbuhan seperti yang diunjurkan," kata bank pusat itu.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi teras yang stabil, serta disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi yang terus kukuh.

Walaupun risiko ketidakseimbangan kewangan dapat dibendung, MPC akan memantau risiko ini bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X