Khamis, 19 Januari 2017 | 4:16pm

Suu Kyi gagal bawa perubahan pada Rohingya - OIC


KEMENANGAN Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar tidak membawa perubahan terhadap Myanmar.- Foto EPA

KUALA LUMPUR: Kemenangan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar ternyata tidak membawa sebarang perubahan terhadap dasar negara itu, khususnya dalam isu penindasan etnik Rohingya di Rakhine.

Meluahkan kekecewaannya, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef A Al-Othaimeen, berkata kedamaian yang diharapkan menerusi kemenangan Suu Kyi itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya minoriti Myanmar itu masih terus ditindas dan dizalimi.

Berucap dalam majlis perasmian Sesi Sidang Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC, hari ini, beliau berkata, terdapat bukti kukuh yang menunjukkan kekejaman terhadap etnik Rohingya oleh kerajaan Myanmar tidak pernah berhenti sehingga memaksa ribuan masyarakat itu melarikan diri ke negara berhampiran.

"Perkara ini dengan jelas dinyatakan dalam laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra'ad Al Hussein pada 20 Jun tahun lalu yang memperincikan dengan menyeluruh pencabulan hak asasi dan kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya.

"Laporan itu membuktikan bahawa masyarakat Rohingya dinafikan hak mereka sebagai rakyat Myanmar yang sah walaupun mereka berhak untuk bebas dan merdeka di tanah air sendiri," katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan Myanmar juga membuatkan ramai rakyat Rohingya terpaksa memperjudikan nyawa dan berlindung di negara luar, sekali gus menjadi beban kepada negara berkenaan khususnya dari segi ekonomi dan sosial.

211 dibaca
Berita Harian X