Khamis, 19 Januari 2017 | 5:09pm

Bioeconomy Corp komersialkan sehingga 10 produk R&D

KUALA LUMPUR: Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) dijangka mengkomersialkan lima hingga 10 produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang baharu menjelang akhir tahun.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Syed Agil Syed Hashim, berkata produk itu terdiri daripada produk asli hingga makanan dan minuman, selain produk kesihatan.

"Di bawah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016, Bioeconomy Corp menyumbang 11 produk," katanya selepas pelancaran pelbagai produk yang dikeluarkan oleh Persona Kosmetik, jenama di bawah Clara International Beauty Group, di sini hari ini.

Bioeconomy Corp adalah unit di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebelum ini dikenali sebagai BiotechCorp.

MOSTI menetapkan sasaran 360 produk baharu yang berdaya saing di peringkat global untuk pengkomersialan menjelang 2020, dengan Petunjuk Prestasi Utama yang membabitkan komitmen daripada setiap agensi yang terbabit dalam R&D dan pembangunan teknologi.

Syed Agil berkata, peranan Bioeconomy Corp adalah untuk mengukuhkan dan menyokong syarikat berstatus BioNexus seperti Persona Kosmetik untuk menjadi juara berasaskan bio di peringkat tempatan.

Sehingga Disember 2016, Bioeconomy Corp membantu 278 syarikat berstatus BioNexus, dan 53 daripadanya bertindak sebagai syarikat utama dalam Program Transformasi Bioekonomi Bioeconomy Corp yang menumpukan kepada projek pembangunan berasaskan bio yang mampan, katanya.

"Sebanyak 53 syarikat berstatus BioNexus telah menjana perolehan sebanyak RM555 juta dan mencatatkan RM532 juta nilai pelaburan yang direalisasikan, sehingga akhir 2016.

"Ini menunjukkan impak yang besar yang boleh dimiliki oleh syarikat berasaskan bio dalam industri kosmetik," katanya.

Syed Agil berkata, Persona Kosmetik turut mengambil bahagian dalam program keusahawanan Bioeconomy Corp selama beberapa tahun, termasuk program BioNext.

"Melalui kerjasama dengan SME Corporation Malaysia, Program BioNext adalah antara inisiatif kami untuk meningkatkan pengkomersialan syarikat berasaskan bio ke arah mewujudkan juara global," katanya.

Ia menawarkan kepada syarikat berstatus BioNexus yang berpotensi tinggi, terutama perusahaan kecil dan sederhana yang terbabit dalam sektor produk asli.

Melalui pendekatan yang disasarkan, katanya program itu bertujuan membantu 20 syarikat yang terpilih pada tahun ini untuk meningkatkan daya saing dan potensi komersial mereka ke arah memperluaskan capaian pasaran global mereka. - BERNAMA

Berita Harian X