Khamis, 19 Januari 2017 | 5:15pm
LANS Koperal Mohd Norhisyam Padzli. -Foto Adnan Ibrahim
LANS Koperal Mohd Norhisyam Padzli. -Foto Adnan Ibrahim

Polis maut nahas dalam perjalanan ambil OKT

 GAMBAR kenangan Lans Koperal Mohd Norhisyam Padzli bersama isterinya Nadzirah Ramli yang dirakamkan ketika bercuti disebuah pusat peranginan di Melaka pada bulan November 2016 lalu.-Foto NSTP Adnan Ibrahim
GAMBAR kenangan Lans Koperal Mohd Norhisyam Padzli bersama isterinya Nadzirah Ramli yang dirakamkan ketika bercuti disebuah pusat peranginan di Melaka pada bulan November 2016 lalu.-Foto NSTP Adnan Ibrahim

KLUANG: Seorang anggota polis maut yang dalam perjalanan mengambil orang kena tuduh (OKT) di lokap Balai Polis Simpang Renggam, apabila van yang dipandunya terbabas ke dalam parit di sini malam tadi.

Dalam kejadian di Kilometer 9 Jalan Kluang-Teck Wah Heng pada kira-kira jam 10.30 malam itu, Lans Koperal Mohd Norhisyam Padzli, 29, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham, berkata nahas berlaku ketika anggota polis itu dalam perjalanan untuk mengambil OKT yang ditahan dalam Ops Noda di Simpang Renggam.

Katanya, mangsa yang berseorangan dikatakan gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke dalam parit di kiri jalan.

"Akibat kejadian itu, anggota terbabit cedera parah di beberapa anggota badan dan disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

"Siasatan awal mendapati nahas berlaku di selekoh dan ketika itu jalan licin akibat hujan renyai," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhamad berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Renggam.

Katanya, anggota polis terbabit meninggalkan seorang isteri, Nadzirah Ramli, 28, yang sedang mengandung anak pertama mereka dan tinggal di Bandar Baru Parit Ibrahim Majid, dekat Simpang Renggam bersama keluarganya.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan polis meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan supaya menyalurkan maklumat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X