Jumaat, 20 Januari 2017 | 5:08pm

Hampir sejuta ikuti Instagram anak Hanis, Hairul

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen masih sukar menerima kenyataan anak sulung mereka, Yusuf Iskandar, 7 bulan, mempunyai ramai peminat pada usia sebegitu muda.

Masakan tidak, sejak akaun Instagram si kecil di bawah nama @theyusufiskandar diwujudkan mereka pada Julai tahun lalu, sehingga kini ia sudah berjaya meraih 860,000 pengikut.

Hanis dan suami, Hairul, juga kerap memuat naik apa saja aktiviti harian anak comel mereka itu di laman bergambar popular terbabit. Antara perkongsian terkini ialah video memaparkan si kecil itu belajar berenang.

"Jujur memang saya akui amat bertuah dan gembira dengan kehadiran Yusuf. Sejak kelahirannya, banyak perkara yang kami peroleh, dan rezeki juga semakin murah.

"Sejak sebelum berkahwin sehingga kini, saya amat bersyukur kerana rezeki kami tidak putus. Perjalanan hidup kami anak-beranak juga bagai disusun dengan cantik. Bahkan, saya berasakan ia jauh lebih indah daripada apa yang saya bayangkan sebelum ini.

"Sekarang, Yusuf pula menjadi perhatian dan 'kegilaan' ramai," kata Hanis yang turut mempunyai ramai pengikut di laman sosial terbabit, dengan 3.2 juta orang.

Menurut pelakon yang juga usahawan itu, pengwujudan akaun Instagram untuk Yusuf dianggap keputusan tepat untuk bagi berkongsi perkembangan buah hati mereka bersama umum.

"Sebelum melahirkannya, Hairul pernah bertanya, perlukah diwujudkan akaun Instagram peribadi untuk anak kami? Tiba-tiba ia menjadi persoalan yang harus dipertimbangkan sebaiknya.

"Namun, ia semua berbalik kepada prinsip saya sendiri yang lebih selesa melakukan sesuatu perkara pada masa dan situasi sebenar, selain mengikut rasa hati. Jadi, ketika itu keputusannya terus tergantung.

"Selepas melahirkan pun, saya sendiri masih teragak-agak dengan soal itu. Hanya selepas sebulan melahirkannya dan melihat perkembangan Yusuf di depan mata, hati mula rasa bulat untuk terus mewujudkan akaun terbabit," kata Hanis.

Yusuf antara anak selebriti tempatan yang terus mendapat perhatian ramai di negara ini. Selain dirinya, turut menjadi ikuti ramai di Instagram ialah anak perempuan pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana (2.5 juta pengikut); anak perempuan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana (83,200); serta dua pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil, Muhammad (183,000) serta Nur Aurora (82,000).

Berita Harian X