Jumaat, 20 Januari 2017 | 6:22pm

MAI sasar TPV 572,003 unit kenderaan tahun ini

 

KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari (tengah) bersama Penolong Pengurus Besar Bahagian Strategik MAI, Mohd Sharulnizam Sarip dan Penolong Pengurus Bahagian Strategik MAI, Fateha Aziz pada taklimat media prestasi industri automotif 2016 dan prospek 2017 di Cyberjaya, hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

CYBERJAYA: Institut Automotif Malaysia (MAI) menyasarkan jumlah pengeluaran industri (TPV) automotif tempatan melonjak kepada 572,003 unit tahun ini, berbanding 545,253 unit pada tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata sasaran TPV lebih tinggi adalah ukuran sebenar bagi menunjukkan pertumbuhan industri terutama dalam pekerjaan, eksport, komponen dan bahagian kenderaan serta vendor.

Katanya, MAI percaya pertumbuhan holistik industri automotif berterusan tahun ini walaupun berhadapan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Jumlah jualan industri (TIV) diakui penting kepada pengeluar dan penentu kuasa beli pengguna. Namun bagi MAI, TPV adalah ukuran sebenar prestasi industri automotif termasuk ekonomi negara," katanya pada taklimat media prestasi industri automotif 2016 dan prospek 2017 di sini, hari ini.

 

Madani berkata, MAI mengunjurkan industri automotif mampu mewujudkan 52,000 pekerjaan tahun ini, yang mana 27,000 daripadanya dalam sektor pembuatan dan baki 25,000 dalam sektor selepas jualan.

 

Tahun lalu, katanya, sejumlah 50,521 pekerjaan diwujudkan dalam sektor berkenaan, meskipun TIV menyederhana dan ini jelas membuktikan industri automotif kekal berdaya saing.

Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan nilai eksport peralatan dan komponen kenderaan meningkat kepada RM12 bilion tahun ini, manakala eksport kenderaan pula berada pada paras 31,000 unit.

 

"Sejumlah 122,610 unit akan dieksport oleh lapan syarikat pengeluar kenderaan (OEM) menjelang tahun 2020. Jumlah ini akan meningkat kepada 150,000 jika persetujuan daripada tiga lagi OEM dicapai.

"Tahap penembusan kenderaan cekap tenaga (EEV) juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan, dengan MAI menjangkakan 50 peratus daripada model yang dipasarkan menerima status itu tahun ini," katanya.

 

Mengenai kejatuhan nilai ringgit, Madani berkata kerajaan sedang melihat langkah perlu untuk industri, termasuk kos melaksanakan perniagaan bagi mengurangkan impak ke atas pemain pasaran.

 

"Memang benar kejatuhan ringgit memberi kesan kepada kos operasi pengeluar kenderaan. Namun, mereka masih optimis dengan pasaran automotif dan tidak bercadang menaikkan harga kenderaan buat masa ini," katanya.

 

Tahun lalu, MAI berkata industri automotif tempatan masih kekal berdaya saing meskipun menerima kesan daripada pasaran yang mencabar.

 

Berita Harian X