Sabtu, 21 Januari 2017 | 1:18am

Hilang suara, Anuar batal konsert

KUALA LUMPUR: Konsert Yonder Music Live Series By The Lake - Anuar Zain & You yang dijadualkan berlangsung malam ini di Panggung Anniversari, Taman Tasik di Perdana, di sini terpaksa dibatalkan disebabkan masalah kesihatan penyanyi itu.

Anuar yang dijadualkan membuat persembahan solo sulung bersama Yonder Music terpaksa akur dengan nasihat doktor yang memerlukan beliau berehat kerana kehilangan suara.

"Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit di atas situasi yang tidak dapat diduga ini. Ia satu keputusan yang amat sukar dilakukan.

"Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya," ujar Anuar yang dijadual mendendangkan 14 lagu hit beliau pada konsert itu. Sementara itu, Pengarah Urusan Yonder Music, Adam Kidron, turut melahirkan duka cita di atas pembatalan konsert itu.

"Pihak kami difahamkan Anuar kehilangan suaranya pada hari ini dan dinasihatkan agar tidak meneruskan konsert seperti yang direncanakan.

"Biarpun ia amat mendukacitakan pihak kami dan peminat, namun kami perlu mengutamakan kesihatan beliau. Semoga beliau cepat sembuh," ujar Adam.

Sebarang informasi terkini terutama mengenai tiket, akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Berita Harian X