Rabu, 17 Disember 2014 | 2:13pm
KELUARGA bahagia, Zahiril Adzim bersama isteri,Shera Aiyob dan anak mereka,Nadi Anaqi

Shera Aiyob berkorban demi keluarga

KUALA LUMPUR: Sewaktu tekad dan membulatkan keputusan untuk bertudung, isteri kepada pelakon Zahiril Adzim, Shera Aiyob tidak langsung memikirkan sama ada ia akan menjejaskan tawaran lakonan yang diceburinya sejak 2008.

Mula bertudung belum sampai sebulan, pelakon filem Karak itu percaya rezeki diberikan Tuhan ada di mana-mana saja. Ibu kepada Nadi Anaqi berusia setahun lima bulan ini tidak pernah memikirkan untuk bersara kerana dunia lakonan menjadi minatnya.

"Saya reda dengan apa yang bakal mendatang termasuk dalam segala aspek kehidupan. Malah ketika mula berhasrat untuk memakai tudung pun saya tak pernah utarakan soal kerja berlakon kepada suami.

"Keputusan bertudung ini pun tak ada kena mengena dengan hasrat untuk memperlahankan kerjaya seni. Sebelum ini lagipun, saya buat ini semua kerana fokus utama kepada anak kami.

"Di usianya sekarang hingga tiga tahun sekurang-kurangnya, anak memerlukan perhatian kami sebagai ibu bapa.

"Sebelum ini apabila saya dan suami sibuk bekerja, terpaksa minta ibu dan ibu mentua jagakan. Lagipun kami tak guna khidmat pembantu rumah.

"Tak kisahlah kalau saya berkorban dengan memperlahankan kerjaya demi anak dan suami boleh terus bekerja seperti biasa," katanya kepada BH Online, sebentar tadi.

Menurut Shera, beliau sudah pun berbincang dengan suami untuk hanya menerima tawaran berlakon yang menggunakan masa yang pendek contohnya untuk telefilem. Kalau drama pun dan berlangsung dalam tempoh panjang, andai skrip bagus, Shera tak keberatan menerimanya.

"Kalau kena kerja luar ibu kota, saya kena fikir banyak kali untuk menerimanya. Kalau saya terima, siapa nak jaga anak. Kalau dulu masa anak masih kecil bolehlah kalau kita minta orang jagakan di set penggambaran.

"Tapi sekarang memang tak boleh kerana dia semakin membesar. Dengan apa yang terjadi membabitkan isu anak didera oleh pembantu rumah, saya jadi paranoid.

"Ibu mentua dan ibu saya pun ada kerja dan memang tak boleh selalu susahkan mereka," katanya yang kini sudah mula memikirkan untuk serius melakukan kerja lain yakni menceburi perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ditanya mengenai kehidupannya kini, Shera memanjat kesyukuran kerana dikurniakan suami yang baik. Perubahan hidup ke arah kebaikan yang diserap Shera dan suaminya kini seakan dipermudahkan.

"Kami sama-sama mahu berubah ke arah kebaikan. Usia pun bukan makin menurun. Tapi untuk ke arah kebaikan ini kami cuba lakukan secara perlahan demi perlahan. Tidak mahu terlalu drastik nanti boleh timbul anggapan rasa riak dan takbur pula.

"Tapi saya bersyukur perubahan yang kami cuba serap ini atas peringatan sesama sendiri. Tak timbul soal perubahan ini didorongi oleh suruhan masing-masing. Sebagai suami, dia khalifah dan saya mengikutnya dari belakang. Kami teruskan apa yang dimulakan," katanya yang sudah tiga tahun melayari bahtera perkahwinan sejak tiga tahun.

Berita Harian X