Sabtu, 21 Januari 2017 | 5:45am

Selepas Everton, adakah City turut 'jadi lauk' Spurs?

KOLUM APA KATA EPL

Seperti dijangka minggu lalu 'pertempuran' antara dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris (EPL) - Manchester United dan Liverpool di Old Trafford mendapat perhatian. Ia jelas satu perlawanan sengit, namun berakhir dengan 1-1.

Ramai menganggap ia keputusan adil. Namun ada juga tidak puas hati terutama penyokong tegar The Reds. Begitu juga peminat setia Red Devils. Masing-masing mendakwa kemenangan harus berpihak mereka dengan menyatakan pelbagai alasan.

Namun di sebalik aksi hebat dua kelab gergasi itu, keputusan perlawanan antara jiran United iaitu Manchester City dengan pesaing Liverpool di Merseyside iaitu Everton berjaya mencuri perhatian.

Ini kerana perlawanan di Goodison Park itu menyaksikan skuad Pep Guardiola tanpa dijangka 'menjadi lauk' kepada anak buah Ronald Koeman, apabila tewas 4-0. Keputusan itu menyaksikan Guardiola mengibarkan bendera putih dalam buruan mendapatkan trofi kejuaraan EPL musim ini.

Dalam pada itu, selepas berakhirnya perlawanan minggu ke-21 itu, Chelsea pimpinan Antonio Conte terus unggul di persada liga dengan himpunan 52 mata, diikuti oleh Tottenham Hotspur di tempat kedua dengan hanya ketinggalan tujuh mata.

Tempat ketiga pula dihuni oleh Liverpool, juga dengan 45 mata, sama seperti Spurs. Dua pasukan ini hanya dibezakan dengan jumlah jaringan. Arsenal pula di tangga keempat dengan 44 mata, diikuti Manchester City (42 mata) dan United (40 mata).

Bagaimana pula minggu ini? Sebanyak 10 lagi perlawanan bakal berlangsung dengan aksi City pimpinan Guardiola menentang Spurs kendalian Mauricio Pochettino di Etihad pada tengah malam ini sebagai perlawanan tumpuan.

Dengan kekalahan mengejut kepada Everton minggu lalu, sasaran Guadiola kini hanya untuk muncul empat terbaik bagi layak ke saingan Liga Juara-Juara. Berdepan Spurs adalah antara ingin dielak bekas pengendali Barcelona ini dalam perjalanan berkenaan.

Mungkin ramai terlupa betapa Spurs adalah pasukan yang meranapkan rekod tidak pernah kalah City dalam enam perlawanan awal pada 2 Oktober lalu. Sejak kekalahan itu, skuadnya tercicir 18 mata apabila hanya menang tujuh daripada 14 perlawanan.

Dan paling memedihkan hati pengendali berkenaan, tempat mereka di tempat kedua liga sejak awal musim ketika ini turut dirampas oleh Spurs. Adakah Guardiola sudah kehilangan sentuhan Midas ketika menjulang Barca dan Bayern Munich sebelum ini?

Sukar untuk meramalkannya, namun mengikut statistik yang dikeluarkan EPL, daripada 39 pertemuan kedua-dua pasukan, jelas ia memihak kepada Spurs. Kelab itu menang sebanyak 23 kali berbanding 11 City.

Dalam lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, nampaknya ia turut menyebelahi Spurs. Pada aksi terakhir di White Hart Lane 2 Oktober lalu, Tottenham menang 2-0. Sebelum itu, pada 14 Februari di Etihad, Spurs turut mengatasi pesaingnya itu, 2-1.

Mungkinkah City bakal 'menjadi lauk' lagi sebagaimana dilakukan Everton minggu lalu, kerana Tottenham kini berselera besar untuk menang lagi agar terus kekal merapati Chelsea di puncak EPL.

Sementara itu, Liverpool yang mengatasi Plymouth pada aksi ulangan Piala FA Rabu lalu, dijangka tiada masalah besar menjinakkan Swansea City yang berkunjung ke Anfield jam 7.30 malam ini waktu Malaysia.

Begitu juga Chelsea yang menerima kedatangan Hull City di Stamford Bridge dan Arsenal yang melayan kehadiran Burnley di Emirates malam esok. Dua kelab ini harus mengutip mata penuh tatkala United berdepan cabaran Stoke City di laman lawannya itu malam ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-22

Liverpool 3 - Swansea City 0

West Brom 2 - Sunderland 1

Crystal Palace 1 - Everton 3

Middlesbrough 3 - West Ham 2

Stoke City 1 - Man United 3

Bournemouth 2 - Watford 2

Man City 2 - Tottenham Hotspur 1

Southampton 3 - Leicester City 1

Arsenal 3 - Burnley 1

Chelsea 3 - Hull City 1

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X