Sabtu, 21 Januari 2017 | 11:16am

MCA yang minta jawatan TPM, bukan DAP - Dr Mahathir


TUN Dr Mahathir Mohamed. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menyebut DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri, terus membuat pusingan U apabila mendakwa MCA yang meminta jawatan berkenaan.

Menerusi laman blognya malam tadi, bekas Perdana Menteri memperbetulkan kenyataannya sebelum ini bahawa yang meminta jawatan berkenaan adalah MCA, bukan DAP.

"Saya dilaporkan berkata bahawa DAP meminta untuk dilantik jawatan timbalan perdana menteri kedua. Saya ingin perbetulkan kesilapan. Bukan DAP tetapi MCA," katanya.

Dr Mahathir mendakwa, permintaan itu dibuat Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

Mahathir turut melampirkan laporan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia yang telah mengetengahkan permintaan Yuen Yow kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu berbunyi: "Datuk Loke Yuen Yow, Timbalan Setiausaha Agung MCA dalam laman webnya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Timbalan Pengerusi BN untuk diisi presidennya bagi mencerminkan "perkongsian kuasa sebenar".

Menurut Yuen Yow lagi, jawatan kedua Timbalan Perdana Menteri untuk presiden MCA bukan sahaja merealisasikan konsep perkongsian kuasa, tetapi juga menunjukkan kerajaan memberi kepentingan kepada peranan dan sumbangan kaum Cina dalam proses pembinaan negara.

Awal minggu ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Berita Harian X