Sabtu, 21 Januari 2017 | 1:14pm

Pelajar OKU guna 'skateboard' terima Anugerah Inspirasi


TUNKU Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Mohd Haziq Samrat pada Majlis Konvokesyen ke-10 IIC di Gombak, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

GOMBAK: Pelajar kurang upaya (OKU) Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Mohd Haziq Samrat membuktikan kekurangannya bukan penghalang untuk meraih kejayaan apabila menerima Anugerah Inspirasi pada Majlis Konvokesyen ke-10 IIC di sini, hari ini.

Walaupun hanya mampu bergerak menggunakan papan luncur disebabkan kedua-dua belah kaki cacat sejak lahir, Mohd Haziq, 22, menyifatkan kekurangan itu tidak menghalangnya mengharungi kepayahan menimba ilmu sehingga berjaya menamatkan Diploma Animasi Kreatif seperti mana pelajar lain.

Anak bongsu daripada tujuh adik beradik yang berasal dari Selayang itu mula menggunakan papan luncur sejak berumur dua tahun kerana lebih senang untuk bergerak berbanding menggunakan kerusi roda.

"Sejak umur dua tahun, saya sudah biasa bergerak menaiki papan luncur dengan menggunakan kekuatan tangan untuk ke mana-mana, mahupun di kolej.

"Walaupun keadaan saya begini, saya mempunyai ramai kawan yang selalu memberi sokongan dan membantu, sama ada dalam pelajaran mahupun motivasi.

"Saya melihat keadaan ini sebagai satu kekuatan, bukan kelemahan. Sebagai bukti, saya turut aktif dalam pelbagai aktiviti lasak bagi membuktikan saya bukan seorang yang lemah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,523 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil dalam pelbagai kursus, yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Mohd Haziq yang pernah berlakon dalam drama Tanah Kubur dan Hatiku Di Sini, juga akan mula menjalani latihan dalam sukan renang pada 1 Februari ini bagi persediaan kejohanan Paralimpik tahun ini.

66 dibaca
Berita Harian X