Sabtu, 21 Januari 2017 | 9:06pm

Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas


BAPA saudara, Hanif Afiz Suhaimi, 18, (kanan) menunjukkan lokasi anak saudaranya, Muhammad Afiq Hafizul Amri berusia 2 tahun yang ditemui terapung di tepi kolam ikan sedalam tiga meter, kira-kira 10 meter jarak dari belakang rumah di Kampung Gaung, Beta Hilir, Kota Bharu. -Foto Nik AbdullaH NiK Omar

BACHOK: Dua dipercayai lemas manakala lima selamat dalam kejadian tujuh pelajar tahfiz dihanyutkan ombak di pantai Kampung Nipah, petang tadi. 

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Ilham Mohd Hafiz dan Mohd Aiman Che Hashim yang berusia 15 tahun hilang manakala lima pelajar berjaya diselamatkan oleh penduduk.

Lima pelajar yang selamat adalah Ahmad Daniel Mohd Azizi; Mohd Nafiz Irfan Mohd Nazri; Omar Saizan; Talha Mohd Hatta dan Daniel Hakim Mohd Syukri, yang masing-masing berusia 15 tahun. 

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata semua pelajar dipercayai keluar asrama untuk mandi di pantai kira-kira 500 meter tanpa pengetahuan pihak pengurusan Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Kampung Nipah. 

Katanya, lima pelajar yang berjaya diselamatkan penduduk dibawa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bachok, manakala dua lagi pelajar belum dijumpai sehingga jam 7 malam tadi. 

"Mereka dipercayai tidak dapat melawan arus deras ketika mandi dan dihanyutkan ombak kuat, lima berjaya diselamatkan dalam keadaan hampir lemas. Operasi mencari dua lagi mangsa akan disambung jam 8 pagi esok," katanya ketika ditemui di lokasi lemas di Kampung Nipah, di sini, hari ini. 

Pasukan mencari dan menyelamat dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bachok; Pasukan Di Air (PDA) JBPM Kota Bharu; Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Bapa kepada Ilham, Mohd Hafiz Mat Yusof, 40, berkata kali terakhir dia berjumpa anaknya minggu lalu ketika melawatnya di asrama. 

Katanya, dia turut menyedari perubahan sikap sulungnya yang menjadi pendiam dan di jangka menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.

Berita Harian X