Sabtu, 21 Januari 2017 | 9:31pm

Yayasan Eco World rai 41 pelajar cemerlang


LAM Thye (belakang empat dari kanan) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Eco World bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2016 Zon Tengah, di Subang Jaya, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin

SUBANG JAYA: Yayasan Eco World malam ini meraikan 41 pelajar pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2016 Zon Tengah, di sini.

Seramai tujuh pelajar Anugerah Paling Cemerlang UPSR menerima wang tunai RM200 dan kamus dwi bahasa, manakala sembilan pelajar Anugerah Cemerlang UPSR pula menerima RM150 serta kamus dwi bahasa setiap seorang.

Bagi PT3, seorang pelajar menerima Anugerah Paling Cemerlang dan wang tunai berjumlah RM500 manakala dua pelajar pula menerima Anugerah Prestasi Paling Meningkat dan RM250.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya bukan sahaja mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan, malah berharap pelajar berkenaan dapat menabur jasa kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Katanya, Yayasan Eco World akan terus menganjurkan aktiviti seperti Kem Kecemerlangan UPSR, seminar kerjaya dan sesi dialog bersama ibu bapa untuk memastikan harapan itu dapat direalisasikan.

"Melihat kepada kepentingan majlis seperti ini, kami juga sudah menetapkan kehadiran ibu bapa sebagai salah satu syarat kelayakan untuk sambung (bantuan pelajar sekolah rendah) ke peringkat menengah.

"Syarat lain termasuk keputusan peperiksaan minimum, kedudukan kewangan keluarga dan kehadiran pelajar bantuan ke Kem UPSR.

"Saya juga minta ibu bapa untuk hadir ke sesi dialog bersama pihak berkaitan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali untuk mengetahui peranan mereka selain bantuan yang diberikan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Mathews.

Berita Harian X