Sabtu, 21 Januari 2017 | 11:56pm
PEMAIN T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) diasak oleh pemain pasukan Sarawak dalam pelawanan Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

T-Team, Sarawak sekadar seri

PEMAIN T-Team, Farhod Tadjiev (tengah) diasak oleh pemain dan penjaga gol pasukan Sarawak dalam pelawanan Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: T-Team gagal manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila hanya sekadar seri 1-1 melawan Sarawak dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

The Titans yang tidak menurunkan bekas penyerang Olympique de Marseille, Mamadou Samassa bermula garang dan mendapat peluang keemasan pada minit ke-2 hasil percubaan Mohd Nor Hakim Hassan tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Sarawak, Mohd Shahril Saari.

Berselang tiga minit, Sarawak berjaya mengucar-kacirkan kubu T-Team tetapi dikekang benteng pertahanan diketuai pemain import T Team, Abdoulaye Youssouf Maiga.

Tuan rumah sekali lagi mendapat peluang apabila Farhod Tadjiev membuat hantaran cantik kepada Mohd Nor Hakim tetapi penyerang ini masih gagal memecah kebuntuan apabila bola rembatannya hanya melintasi pintu gawang pelawat minit ke-16.

Pada minit ke-27, penyerang import Sarawak, Mateo Roskam juga melepaskan peluang keemasan menjaringkan gol apabila menyepak tinggi ketika penjaga gol T-Team, Mohd Izzuddin Hussin sudah tertewas.

Empat minit bersambung perlawanan di babak kedua, Mohd Nor Hakim berjaya menembusi gawang pelawat hasil jaringan pada minit ke-49 untuk memberikan kelebihan kepada skuad Rahmad Darmawan.

Namun, ketika perlawanan berbaki 10 minit, Mateo menebus kesilapan awal pada babak pertama apabila menjaringkan gol penyamaan pelawat hasil hantaran Mark Andrew Hartmann pada minit ke-80.

Berita Harian X