Ahad, 22 Januari 2017 | 10:44am
SERAMAI 417 mangsa daripada 100 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan akibat banjir. - Foto Recqueal Raimi.

417 mangsa banjir dipindahkan di Kota Marudu, Pitas dan Beluran

KOTA KINABALU: Seramai 417 mangsa daripada 100 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan akibat banjir kali kedua di Kota Marudu, Pitas dan Beluran, pagi ini.

Daripada jumlah itu, seramai 346 mangsa daripada 82 keluarga berada di pusat pemindahan dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan, Kota Marudu; 39 mangsa (11 keluarga) di dewan Kampung Binsulung, Paitan di Beluran dan 35 mangsa (tujuh keluarga) di dewan SK Salimpodon, Pitas.

Semua pusat pemindahan di ketiga-tiga daerah yang dibuka sejak Rabu lalu ditutup pagi semalam tetapi terpaksa dibuka semula pada sebelah petang apabila banjir melanda semula.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata banjir dijangka berterusan berikutan keadaan paras air sungai di daerah terbabit menunjukkan peningkatan disebabkan hujan tanpa henti sejak malam tadi.

Katanya, Sungai Bongon dan Sungai Bandau di Kota Marudu mencatat paras amaran, masing-masing dengan 7.42 meter dan 6.9 meter, manakala Sungai Kebatasan dan Sungai Bengkoka di Pitas menunjukkan paras bahaya denngan bacaan 6.24 meter dan 4.16 meter.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 18 kampung terjejas akibat banjir di Pitas.

Di Beluran, Kampung Bayu Pamol masih terjejas dengan penduduk terputus hubungan sejak lima hari lalu apabila jalan raya dinaiki air.

Di Kampung Binsulong, Paitan pula 39 penduduk masih berada di pusat pemindahan dewan serba guna kampung berkenaan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kinabatangan berkata, anggota bomba masih ditempatkan di kedua-dua lokasi untuk melakukan pemantauan.

"Kami juga masih menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyalurkan bantuan makanan ke Kampung Bayu Pamol," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X