Ahad, 22 Januari 2017 | 1:32pm

3 polis cedera ditikam

BUKIT MERTAJAM: Tiga anggota polis cedera ditikam seorang lelaki ketika mereka cuba menahan suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan di Jalan Pasar di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, tiga anggota terbabit sedang melakukan pemeriksaan ke atas suspek berusia 30 tahun di sebuah premis hiburan, sebelum lelaki itu bertindak cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek kemudian bertindak agresif mengeluarkan pisau dan menikam anggota terbabit.

"Tiga yang cedera adalah Ketua Balai Polis Bukit Mertajam, Inspektor Ganesh Murugayiah yang luka di tangan, Konstabel Mohamed Khusairi Ahamad yang luka paha kanan dan Konstabel P Viveganathan yang luka di tangan kanan.

"Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu belakang premis dan usaha mengesannya masih dilakukan pihak polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketiga-tiga anggota terbabit dihantar bagi menjalani rawatan di Hospital Bukit Mertajam dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang juga isteri kepada suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X