Ahad, 22 Januari 2017 | 5:23pm

Banjir tambah buruk di Kota Marudu, Pitas

ANGGOTA APM membantu memindahkan seorang warga emas mangsa banjir di Pitas. - Foto Ihsan APM Sabah

KOTA KINABALU: Mangsa banjir gelombang kedua di Sabah meningkat kepada 514 orang membabitkan 143 keluarga dengan lima pusat pemindahan dibuka petang ini, berbanding 417 mangsa daripada 100 keluarga dan tiga pusat pemindahan pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 381 mangsa daripada 107 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kota Marudu, manakala seramai 94 mangsa daripada 25 keluarga di dua pusat pemindahan di Pitas.

Selebihnya iaitu 39 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di daerah kecil Paitan, Beluran dan angkanya kekal seperti direkodkan pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata beberapa kampung di Kudat turut dilanda banjir, namun belum ada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini.

Katanya, situasi banjir di utara Sabah itu khususnya Pitas dijangka bertambah buruk berdasarkan paras sungai yang terus meningkat petang ini, susulan hujan berterusan.

"Dua sungai di Pitas iaitu Sungai Kebatasan dan Sungai Bengkoka mencatat bacaan melebihi paras bahaya iaitu 6.53 meter dan 4.3 meter, manakala Sungai Bongon dan Sungai Bandau di Kota Marudu mencatat paras amaran iaitu 7.42 meter dan 6.9 meter," katanya di sini, petang ini.

Beliau berkata, hujan yang kadang-kala lebat masih berterusan di Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran menyebabkan paras sungai terus meningkat.

Berita Harian X