Ahad, 22 Januari 2017 | 7:22pm

Suami isteri maut, anak parah kemalangan babit 4 kenderaan


SEPASANG suami isteri, Mohd Shafie Ngah dan Norhazaimi Abd Wahad maut selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 116, Jalan Kuantan- Johor Bahru, dekat Rompin. -Foto Ihsan Bomba Pahang

ROMPIN: Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 116 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Shafiee Ngah, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rompin dan isterinya, Norhazaimi Abd Wahab, 48, maut di tempat kejadian akibat parah kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, anak pasangan itu, Muhammad Faris, sembilan tahun dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan susulan.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca apabila kenderaan pacuan empat roda Mitsubisi Triton dipandu oleh Haizul Hazrin Ghazali, 36, terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Kenderaan itu kemudian bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan berpusing beberapa kali, " katanya ketika dihubungi, di sini, petang tadi.

Katanya, mangsa bersama keluarganya menaiki MPV jenis Toyota Unser yang datang dari arah belakang gagal mengelak dan terlanggar bahagian tepi Triton sebelum dilanggar kereta Perodua Viva.

Katanya, Haizul Hazrin dan anaknya, Muhammad Hazim Adha, enam tahun serta pemandu Perodua Viva, Jamsari Mohamad, 52, cedera ringan

Azli berkata, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X