Ahad, 22 Januari 2017 | 9:29pm

BCorp komited bantu golongan sasar

PENGASAS Berjaya Corporation Berhad (BCorp), Tan Sri Vincent Tan.-Foto Unggul

Angat, Bulacan: Beberapa daerah di Sabah dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan rumah percuma, bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman sendiri.

Pengasas Berjaya Corporation Berhad (BCorp), Tan Sri Vincent Tan, berkata idea itu tercetus selepas usaha pihaknya membina kira-kira 1,000 unit rumah untuk mangsa Taufan Sendong dan bencana alam lain, dilihat memanfaatkan penduduk setempat.

Menerusi peruntukan berjumlah RM26.7 juta (PHP 300 juta), beliau berkata, usaha sama dengan Gawad Kalinga (GK) sejak 2012 menyasarkan 3,000 rumah untuk keluarga miskin seluruh Filipina.

Setakat ini, katanya, sejumlah 1,000 unit sudah disiapkan.

"Kita masih mencari tapak bersesuaian untuk tujuan itu.

"Di sini kita mempunyai sukarelawan mencukupi dan syarikat lain untuk berganding usaha membangunkan model sama di Malaysia.

"Ini adalah usaha kita membantu masyarakat memerlukan kerana masih ada rakyat miskin tidak mampu menyediakan makanan, jauh sekali memiliki rumah," katanya ketika merasmikan Pusat Kulinari dan Restoran Berjaya Garden (BGRCC) di Angat, Bulacan, semalam.

Turut hadir, perasmian Pengasas dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Masyarakat GK, Tony Meloto; Pengarah Eksekutif Yayasan Pembangunan Masyarakat GK, Jose Luis Oquinena dan Ketua Berjaya Philippines Inc, Paul Soo.

Tan berkata, Pusat Seni Kulinari Berjaya dibina pada November 2013 dengan kos RM400,000 dan kini diubah suai menerusi kos RM2.7 juta.

"Pusat ini dibina di kawasan seluas 755 meter persegi dan dilengkapi kemudahan tempat makan, bilik acara, dapur, taman berciri semula jadi dan kelestarian alam.

"Menerusi projek BGRCC, kita melihat reaksi positif apabila ramai keluarga miskin bangun memulakan kehidupan baharu menjadi hab yang juga taman universiti ladang pertama di Asia," katanya.

Berita Harian X