Isnin, 23 Januari 2017 | 8:13am

Hoki wanita negara mungkin dihantar berlatih di Eropah


PRESIDEN KHM, Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak menolak kemungkinan menghantar pasukan hoki wanita kebangsaan menimba pengalaman bermain di Eropah sebagai persediaan menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) yang bakal berlangsung pada Jun dan Julai ini.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata saingan separuh akhir itu bakal memberikan cabaran yang sengit kepada skuad kebangsaan, justeru pendedahan bermain di Eropah dilihat sebagai satu persiapan yang dianggap mustahak.

Beliau menjelaskan faktor fizikal yang dimiliki kebanyakan pemain Eropah adalah jurang utama yang memisahkan antara pasukan negara dan pasukan dari benua berkenaan.

"Saya tahu bahawa gergasi hoki wanita ini sebahagiannya datang daripada Asia tetapi saya nampak apabila kita bermain menentang pasukan Eropah, faktor fizikal adalah faktor yang paling ketara.

"Jadi, saya lihat ini sebagai satu perkara yang penting untuk kita menghantar pasukan wanita ini bermain di Eropah ataupun menjemput pasukan Eropah bermain di sini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan final Pusingan Kedua WHWL, yang menyaksikan Ireland menewaskan Malaysia 3-0 di Stadium Hoki Tun Razak di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengesahkan bahawa kontrak ketua jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah akan disambung sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan beliau bersama barisan kejurulatihannya sepanjang bersama pasukan negara sejak setahun yang lalu.

"Kontrak beliau (Dharma) setakat ini tetap akan diteruskan dan saya berpendapat bahawa beliau dan semua jurulatih yang terbabit dalam pasukan hoki wanita negara adalah jurulatih yang baik.

"Sebelum ini juga saya telah memberitahu bahawa saya akan memberikan peluang dan masa untuk dia (Dharma) membuktikan kemampuan beliau membawa pasukan negara dan hari ini, kita dapat lihat kejayaan yang diraih pasukan wanita kebangsaan," jelas beliau.

Skuad hoki wanita mencipta sejarah apabila buat kali pertama mara ke pusingan Separuh Akhir WHWL selepas menewaskan Itali 2-1 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir semalam.

-- BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X