Isnin, 23 Januari 2017 | 9:02am

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat

PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Banjir di tiga daerah di Sabah iaitu Beluran, Pitas dan Kota Marudu semakin buruk apabila mangsa meningkat daripada 634 daripada 196 keluarga berbanding 616 mangsa daripada 190 keluarga, malam tadi.

Mereka ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Di Beluran, seramai 65 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan dengan tiga kampung terjejas.

Seramai 188 mangsa daripada 70 keluarga yang tinggal di lapan kampung terjejas banjir, ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah Pitas.

Di Kota Marudu, seramai 381 mangsa daripada lima kampung dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu dewan SK Taritipan dan dewan Pusat Latihan Pertanian Damai.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata paras sungai di Pitas dan Kota Marudu menunjukkan penurunan berikutan tiada hujan lebat.

"Bagaimanapun di Beluran ada peningkatan paras air berikutan hujan lebat, manakala di Kudat paras air meningkat disebabkan hujan dan sungai bertembung dengan air pasang di laut," katanya di sini, pagi ini.

Hari ini, sebanyak 13 sekolah ditutup akibat banjir di Pitas dan Beluran sama ada kawasannya dinaiki air atau disebabkan terputus laluan.

Berita Harian X