Isnin, 23 Januari 2017 | 9:51am

Trump, Netanyahu bertemu di Rumah Putih bulan depan

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters

JERUSALEM: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mempelawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertemu di Rumah Putih, bulan depan.

Jemputan itu dikeluarkannya selepas beliau berbincang dengan Netanyahu mengenai ancaman Iran, menerusi telefon.

"Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin setuju untuk meneruskan kerjasama rapat mengenai isu serantau, termasuk ancaman oleh Iran," kata Rumah Putih dalam kenyaatannya, sekali gus menunjukkan tindakan tegas yang bakal diambil pentadbiran baharu AS terhadap Tehran.

Kenyataan itu juga menyebut Trump menjemput Netanyahu untuk mengunjungi Rumah Putih pada 'awal Februari'.

Baru-baru ini, Israel meluluskan pembinaan 566 rumah baharu bagi pendatang Yahudi di timur Jerusalem, iaitu beberapa jam sebelum perbincangan telefon itu, yang dianggap sebagai 'baik' oleh Israel.

"Peraturan sudah berubah dengan tibanya Donald Trump sebagai presiden. Tangan kami tidak lagi terikat seperti ketika zaman Barack Obama. Kami kini boleh teruskan pembinaan (rumah pendatang)," kata Timbalan Datuk Bandar Jerusalem, Meir Turjeman kepada AFP.

Tindakan itu mendapat bantahan Presiden Palestin yang menganggapnya sebagai mencabul Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Berita Harian X