Isnin, 23 Januari 2017 | 10:52am

Bilangan mangsa banjir di Kelantan berkurangan

MANGSA banjir, Nik Mohd Ghazali Nik Mohd Yusoff, 34, bersama isteri dan anaknya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar, Kota Bharu. -Foto NSTP Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini berkurangan kepada 6,157 orang pada jam 10 pagi ini berbanding 7,455 malam tadi.

Semua mangsa banjir membabitkan 1,876 keluarga ditempatkan di 41 PPS di lima daerah.

Menurut portal eBanjir Kelantan, daerah Pasir Puteh merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,546 orang mangsa yang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Pasir Mas membabitkan 1,410 orang mangsa di 17 PPS.

Lain-lain daerah adalah Bachok seramai 522 orang, Kota Bharu (1,763) dan Kuala Krai (52).

Sementara itu, PPS di Machang, Tanah Merah dan Tumpat sudah ditutup.

Sebanyak 20 laluan ditutup iaitu tiga laluan di Machang, lapan di Pasir Mas, empat di Pasir Puteh, satu di Bachok, satu di Tumpat dan tiga di Kota Bharu.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, beberapa sungai utama di negeri ini berada di paras amaran serta bahaya.

Antara sungai yang berada pada paras bahaya ialah Sungai Kelantan di Kusial iaitu 16.15 meter (m) berbanding paras normal 10m manakala Sungai Golok di Rantau Panjang adalah 10.06m berbanding paras normal 5.0m serta Sungai Golok di Kuala Jambu iaitu 3.26m berbanding paras normal 0.7m.

Berita Harian X