;
Isnin, 23 Januari 2017 | 3:47pm

Pendedahan Tun M sahkan dakwaan Tunku Aziz


KETUA Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang Penasihat DAP, Lim Kit Siang menuntut diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika pembangkang menjadi kerajaan mengesahkan dakwaan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebelum ini.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pendedahan ini sekali gus membongkar agenda dan matlamat sebenar Kit Siang dalam politik negara iaitu DAP mengetuai Pakatan Harapan mahu mengambil alih kuasa politik Melayu di Putrajaya.

"Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebenarnya pertandingan antara dua kuasa besar politik di Malaysia iaitu UMNO dan DAP.

"Jika Barisan Nasional (BN) menang, UMNO akan terus mentadbir Putrajaya dan jika Pakatan Harapan menang, maka DAP pula akan mentadbir Putrajaya.

"Ternyata PRU-14 bukanlah medan untuk DAP mendahulukan rakyat tetapi hanya alat untuk mereka menguasai politik Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tunku Aziz sebelum ini mendedahkan pakatan sulit membabitkan persetujuan untuk anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dijadikan Perdana Menteri dan Kit Siang sebagai timbalannya jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipetik berkata, calon DAP tidak mungkin mengisi jawatan Perdana Menteri kerana ia akan memerlukan sokongan parti pembangkang Melayu yang sedia ada.

"DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri. Tapi kalau timbalan itu, adalah. Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib Razak untuk menakut-nakutkan orang Melayu," kata Dr Mahathir dalam satu program politik pembangkang minggu lalu.

6904 dibaca
Berita Harian X