Isnin, 23 Januari 2017 | 5:40pm

JPJ nafi larang kereta Uber, GrabCar perbaharui cukai jalan

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan laporan bahawa pihaknya melarang kenderaan yang terbabit dengan kegiatan Uber dan GrabCar memperbaharui cukai jalan.

JPJ, dalam satu kenyataan sebentar tadi, menjelaskan bahawa mesej memaparkan berita yang menjadi viral melalui media sosial WhatsApp yang didakwa dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ, adalah tidak benar sama sekali.

"Kenderaan yang terbabit dengan kegiatan Uber dan GrabCar boleh memperbaharui cukai jalan dengan mengikut prosedur sedia ada iaitu mempunyai insurans yang sah dan tidak disenarai hitam.

"JPJ ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, orang awam dinasihatkan untuk merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan maklumat palsu berkenaan," katanya.

52 dibaca
Berita Harian X