Isnin, 23 Januari 2017 | 6:38pm

14 sekolah di Kelantan masih ditutup

RUMAH penduduk masih ditenggelami air sedalam hampir 2 meter petang tadi di Kampung Seberang Lating, Kedai Mulong, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Sebanyak 14 Sekolah Menengah dan Kebangsaan masih ditutup esok berikutan banjir yang melanda negeri ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail, memaklumkan sekolah berkenaan ditutup kerana antaranya masih ditenggelami air, terputus hubungan serta merbahaya keselamatan guru dan murid.

"Ia membabitkan tiga daerah iaitu satu di Kota Bharu, empat di Tumpat serta sembilan di Pasir Mas dengan murid dan pelajar seramai 5,768 orang.

"Sehingga kini sekolah yang terbabit dengan banjir akan bercuti sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak mengikut keadaan semasa banjir," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sementara itu, Jaafar memaklumkan sehingga jam 5 petang tadi, sebanyak 17 sekolah di tiga daerah masih lagi dijadikan pusat pemindahan sementara.

"Seramai 3,752 mangsa banjir masih lagi ditempatkan di sekolah di daerah Pasir Mas, Pasir Puteh serta Kota Bharu.

"Kita akan menunggu laporan terperinci daripada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit dari semasa ke semasa dan untuk mendapatkan jumlah terkini sekolah yang dijadikan pusat pemindahan serta yang masih ditenggelami air," katanya.

Berita Harian X