Selasa, 24 Januari 2017 | 12:58pm

Syarikat swasta tawar kepakaran cari MH370

SERI KEMBANGAN: Beberapa syarikat swasta menyatakan hasrat untuk berkongsi kepakaran dan teknologi dengan kerajaan dalam usaha membantu mencari pesawat MH370.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata setakat ini, hasrat daripada beberapa syarikat itu masih belum dinyatakan secara rasmi.

Katanya, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan hasrat mana-mana syarikat yang mahu membantu pencarian pesawat malang itu, serta tidak teragak-agak memberi ganjaran sekiranya mereka berjaya.

"Setakat ini secara rasmi belum ada, tapi beberapa syarikat yang memiliki kepakaran dan teknologi, seperti syarikat cari gali minyak dan kontraktor perkapalan ada menyatakan hasrat mereka.

"Kerajaan sudah membelanjakan banyak wang, iaitu kira-kira AUD$200,000 dan kita tidak mahu terus membelanjakan wang yang banyak tanpa sebarang kejayaan.

"Jadi, kita beri peluang kepada mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang ini dan mereka yang berminat boleh maklumkan kepada kerajaan," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.


Ab Aziz (dua dari kiri) beramah mesra bersama anggota polis ketika majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017 di Plaza Tol Mines Selatan hari ini. - Foto BERNAMA

Pada 17 Januari lalu, Malaysia, Australia dan China mengumumkan misi pencarian pesawat MH370 di dasar laut digantung selepas operasi pencarian terakhir di selatan Lautan Hindi seluas 120,000 kilometer persegi tidak menemui sebarang maklumat terbaru.

Menurut satu kenyataan bersama antara Malaysia, China dan Australia, pesawat itu masih tidak dapat ditemui walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan kedudukannya selepas misi pencarian dilakukan selama 34 bulan.

29 dibaca
Berita Harian X