Selasa, 24 Januari 2017 | 1:15pm

Tragedi bot karam: 2 lagi mayat ditemui

OPERASI mencari dan menyelamat oleh APM dan Polis bagi menaikkan bot pancung yang karam di perairan Tanjung Rhu, Mersing, semalam. - Foto Hairul Anuar Rahim

MERSING: Polis menemui dua lagi mayat lelaki dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata kedua-dua mayat ditemui terdampar jam 12 tengah hari tadi di pantai Tanjung Rhu, di sini.

Bagaimanapun katanya, tiada dokumen diri ditemui pada kedua-dua mangsa.

"Penemuan itu menjadikan jumlah mayat ditemui meningkat kepada 12 orang dan kemungkinan ada lagi yang masih lemas atau belum ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa terbabit akan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk bedah siasat.

Semalam, bot pancung yang membawa 40 PATI warga Indonesia itu dipercayai karam di perairan Tanjung Rhu pada jam 4.30 pagi, dipercayai dari Batam, Indonesia.

Berita Harian X