Selasa, 24 Januari 2017 | 1:44pm

Mangsa banjir di Kelantan berkurangan

Oleh Muhammad Sufian Rosli

[email protected]

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini berkurangan kepada 2,937 orang pada jam 1 tengah hari ini berbanding 3,344 pada 8 pagi tadi.

Semua mangsa membabitkan 814 keluarga yang dipindahkan itu ditempatkan di 19 PPS di empat daerah.

Menurut portal eBanjir Kelantan, Pasir Puteh merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,549 orang yang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Pasir Mas, 258 orang mangsa di empat PPS.

Daerah Kota Bharu membabitkan jumlah mangsa seramai 86 orang yang ditempatkan di tiga PPS manakala Kuala Krai terdiri daripada 44 mangsa.

PPS di Machang, Tanah Merah, Bachok dan Tumpat sudah ditutup sejak semalam.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, hanya dua sungai masih mencatatkan bacaan paras bahaya dan amaran.

Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 9.59 meter (m) iaitu di paras bahaya manakala Sungai Galas di Dabong, 35.90m, iaitu di paras amaran.

Berita Harian X