Selasa, 24 Januari 2017 | 2:30pm

USM, Pusat Pendidikan Bandar Nagoya jalin kerjasama

Dr Asma (dua dari kiri) bersama-sama Sugisaki (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani MoU antara USM dan Pusat Pendidikan Bandar Nagoya di USM, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Buat julung kalinya, Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan Pusat Pendidikan Bandar Nagoya, Jepun bagi pengkhususan peluang pendidikan dalam bidang Bahasa Inggeris.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail, berkata kerjasama itu akan membuka peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar dari kedua-dua pihak untuk bersama-sama memperkasa ilmu berkenaan.

"Kerjasama ini bertujuan menambah baik pengisian akademik dan membuka peluang kepada pelajar dari Jepun untuk meneroka aktiviti baharu dalam pendidikan dan kerja sosial.

"Ia akan membolehkan kedua-dua pihak untuk belajar dan memahami budaya masing-masing," katanya pada sidang media di USM di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USM dan Pusat Pendidikan Bandar Nagoya yang diwakili oleh ketuanya, Masami Sugisaki.

Terdapat lebih 400 institusi pengajian, bermula dari pra sekolah hingga universiti di bawah seliaan Pusat Pendidikan Bandar Nagoya.

USM pula sudah menjalinkan kerjasama dengan 33 institusi di Jepun, antaranya Universiti Teknologi Toyohashi (TUT), Kyoto University of Foreign Student (KUFS) dan Industri Toray.

Sementara itu, Asma berkata, kerjasama antara USM dan Pusat Pendidikan Bandar Nagoya akan membabitkan aktiviti simposium dan diskusi antara pelajar dan tenaga pengajar kedua-dua pihak.

Beliau berkata, latihan pengajaran Bahasa Inggeris di USM akan turut dilaksanakan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dari Nagoya.

Berita Harian X