Selasa, 24 Januari 2017 | 6:20pm

Penjenayah miliki 18 rekod lampau ditahan

gn4id:18592132

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki yang memiliki 18 rekod jenayah lampau di Kampung Sireh di sini, malam tadi.

Suspek berusia 37 tahun yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kes samun dan curi itu ditahan di hadapan sebuah kedai runcit kira-kira jam 10.40 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat rondaan melihat orang awam mengejar seorang lelaki.

"Anggota URB bergegas membantu sebelum suspek ditahan selepas berlaku pergelutan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 10/2017 Tahun Baharu Cina di Bandar Baru Tunjong, hari ini.

Katanya, polis merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 16 sentimeter dan peti mesin tunai mengandungi RM112.70.

Siasatan mendapati, motosikal ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu yang mempunyai kaitan dengan laporan motosikal hilang di Pasir Mas.

"Dia juga memiliki rekod lampau bersabit kesalahan dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 379A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X