Selasa, 24 Januari 2017 | 7:48pm

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini, seiring prestasi mata wang Asia lainnya berikutan penyusutan permintaan terhadap dolar akibat kebimbangan mengenai pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengutamakan perlindungan perdagangan.

Pada jam 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.4330/4370 berbanding dolar AS daripada 4.4360/4400 semalam.

Ketua Strategis Pasaran FXTM, Hussein Sayed, berkata keputusan AS untuk menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik juga membuktikan bahawa agenda anti perdagangan dan perlindungan perdagangan yang dipertahankan Trump bukan sekadar retorik.

"Presiden itu serius untuk menunaikan semua janjinya dan para pelabur gelisah dengan perkembangan berikutnya," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1240/1273 daripada 3.1224/1259 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.9143/9182 daripada 3.9039/9078.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain kepada 5.5302/5369 daripada 5.5219/5287 pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.7606/7653 berbanding 4.7572/7632, sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X