Selasa, 24 Januari 2017 | 8:34pm

Bot karam, 2 lagi mayat ditemui

MERSING: Dua lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, ditemui jam kira-kira 4.30 petang tadi.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berkata, mayat lelaki dan wanita itu ditemui kira-kira lima batu nautika dari lokasi bot karam berhampiran Tanjung Rhu di sini, oleh Kapal KD Gempita Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Terdahulu, dua mayat lelaki ditemui terdampar di pantai Tanjung Rhu oleh anggota Tentera setakat jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada dokumen diri ditemui pada kedua-dua mangsa.

"Penemuan itu menjadikan 14 mayat ditemui setakat ini," katanya di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 7 malam tadi.

Semalam, 10 mayat PATI masing-masing empat lelaki dan enam wanita ditemui terdampar di Pantai Tanjung Rhu, dekat sini kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian bot pancung karam.

Bot membawa 40 PATI warga Indonesia itu dipercayai berlepas dari Batam pada jam 8 malam pada Ahad, sebelum terbalik dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Rhu kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Berita Harian X