Selasa, 24 Januari 2017 | 9:49pm

Nationwide Express labur RM40j beli tiga syarikat

KUALA LUMPUR: Nationwide Express Holdings Bhd (NEHB) menandatangani perjanjian pengambilalihan untuk membeli tiga syarikat pada pertimbangan keseluruhan RM40 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, NEHB berkata, cadangan pembelian itu membabitkan semua modal terbitan dan modal saham berbayar dalam MTR Services Sdn Bhd, MTR Freight Sdn Bhd dan MTR Services (Sarawak) Sdn Bhd.

Perjanjian pengambilalihan saham bersyarat itu ditandatangani bersama Wong Fok Lim dan Foo Shiew Khiang, dengan sumber pembiayaan adalah melalui dana dalaman dan/atau pinjaman bank.

"Melangkah maju, syarikat yang disasarkan itu dijangka memperoleh manfaat daripada industri e-dagang Malaysia yang terus berkembang, khususnya dalam pasaran Sabah dan Sarawak yang belum diterokai.

"Justeru itu, pembelian berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan NEHB Group pada masa depan," menurut kenyataan itu.

MTR Services terbabit dalam pelabelan, perkhidmatan penghantaran dan penyewaan kenderaan, manakala MTR Freight pula menjalankan perniagaan perkhidmatan penghantaran dan pengedaran, sementara MTR Services (Sarawak) menyediakan perkhidmatan logistik. - BERNAMA

115 dibaca
Berita Harian X