Selasa, 24 Januari 2017 | 11:47pm

Banjir di Johor makin buruk, 6,345 dipindahkan

SEBANYAK 820 mangsa banjir dari Taman Aman dan Taman Mawai ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Kota Kecil hari ini. - Foto BERNAMA
SEBANYAK 820 mangsa banjir dari Taman Aman dan Taman Mawai ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Kota Kecil hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa yang berada di 57 pusat pemindahan seluruh negeri meningkat kepada 6,345 orang daripada 1,885 keluarga, setakat jam 10 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata daerah Segamat mencatatkan mangsa paling tinggi iaitu 4,921 orang membabitkan 1,518 keluarga berbanding 1,843 orang daripada 516 keluarga pada jam 6 petang tadi. 

Katanya, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat juga meningkat kepada 40 berbanding 29 sebelum ini. 

Ayub berkata, di Tangkak seramai 105 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di tiga PPS, manakala di Johor Bahru pula 53 mangsa daripada 14 keluarga berada di dua PPS. 

Katanya, satu lagi PPS dalam daerah Johor Bahru iaitu Balai Raya Kampung Sungai Tiram sudah ditutup sepenuhnya pada jam 7.40 petang tadi. 

"Di Kota Tinggi, seramai 998 mangsa daripada 246 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala di Kluang pula 67 mangsa dari 17 keluarga berada di tiga PPS," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Ayub berkata, di Mersing seramai 111 mangsa membabitkan 39 keluarga berada di Kompleks Taman Endau Rompin. 

Katanya, di Muar pula seramai 90 mangsa dari 24 keluarga ditempatkan di Dewan Semai Bakti Gugusan FELDA Moakil.

INFO:

Pusat Pemindahan: 57

Jumlah keluarga: 1,885

Jumlah mangsa: 6,345

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X