Selasa, 24 Januari 2017 | 11:50pm

4 lagi mayat mangsa bot karam ditemui

POLIS menemui empat lagi mayat hari ini, dipercayai mangsa tragedi bot pancung yang karam ketika membawa 40 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia.- Foto AFP

MERSING: Polis menemui empat lagi mayat hari ini, dipercayai mangsa tragedi bot pancung yang karam ketika membawa 40 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata mayat dua lelaki tanpa dokumen diri ditemui terdampar oleh pasukan mencari dan menyelamat di pantai berhampiran pada jam 12 tengah hari ini.

Mayat seorang lelaki dan wanita pula ditemui terapung sekitar empat batu nautika dari Tanjung Rhu pada jam 4.40 petang tadi oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu.

"Semua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, bot pancung itu yang berlepas dari Batam, dipercayai cuba masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Rhu.

Semalam, 10 mayat iaitu empat lelaki dan enam perempuan ditemui terdampar di Pantai Tanjung Rhu.

Berita Harian X