Rabu, 25 Januari 2017 | 12:13am

Pelarian Rohingya mengemis di jalanan

DHAKA: Nasib malang pelarian etnik Rohingya yang tidak diterima kerakyatannya di Myanmar semakin parah apabila mereka terpaksa merempat di jalanan di Bangladesh untuk menagih makanan dan simpati orang ramai.

Situasi itu disaksikan wartawan BH yang mengikuti kumpulan "recce" Food Flotilla For Myanmar ketika dalam perjalanan ke Teknaf dekat sempadan Bangladesh-Myanmar dari Cox's Bazar yang juga pusat pelancongan Bangladesh.

Senario ibu memangku anak kecil dan duduk di tepi jalan utama dekat Kem Pelarian Kutupalong menyebabkan anggota misi berasa amat sedih apabila pelarian Rohingya terpaksa menagih simpati dalam keadaan yang amat daif.

Kebanyakan pelarian duduk secara berkumpulan dan ada juga duduk di tepi jalan utama di bawah panas terik.

"Mereka tiada wang dan makanan, tiada harapan," kata penterjemah kami, Hilal sambil merujuk kepada pelarian Rohingya dari Kutupalong, yang juga kem pelarian rasmi pelarian etnik Rohingya di Bangladesh, sejak awal 1990-an.

PELARIAN etnik Rohingya menagih simpati orang ramai yang melewati kawasan Kem Kutupalong dekat Cox's Bazar. - Foto Syed Azwan Syed Ali

PELARIAN Rohingya terpaksa menagih simpati dalam keadaan yang amat daif. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Kebanyakan pelarian Rohingya yang menagih simpati itu adalah pelarian yang baru tiba di Bangladesh.

Mereka adalah antara 65,000 pelarian etnik Rohingya yang dilaporkan menyeberangi Sungai Naf iaitu sempadan Bangladesh-Myanmar selepas insiden berdarah di Maungdaw, wilayah utara Rakhine (Arakan) pada awal Oktober tahun lalu.

Media melaporkan ribuan penduduk melarikan diri ke Bangladesh selepas Tentera Myanmar menjalankan operasi yang didakwa membabitkan pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik Rohingya yang tidak diiktiraf di negara bekas junta itu.

Tentera Myanmar didakwa melakukan operasi "pembersihan" di Maungdaw selepas tiga pos sempadannya diserang kumpulan militan pada 9 Oktober lalu menyebabkan sembilan anggota polis, terbunuh.

"Bangladesh menutup pintu sempadan, tetapi mereka (pelarian Rohingya) tetap masuk ke negara kami," kata Ahli Parlimen Chittagong, Prof Dr Abu Reza Nadwi ketika ditemui pasukan sukarelawan Malaysia di Dhaka, minggu lalu.

KUMPULAN recce Food Flotilla for Myanmar turut menghantar "food pack" untuk 100 pelarian Rohingya yang baru tiba di Kem Kutupalong melalui NGO tempatan, Fayazee Welfare Foundation. - Foto fail Syed Azwan Syed Ali

Pasukan recce flotila yang diketuai Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Farid Hassan turut disertai wakil dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Pasukan itu berada di Dhaka bagi memastikan persiapan logistik dan urusan berkaitan sebelum kapal kemanusiaan Nautical Aliya yang membawa 1,000 tan bantuan kemanusiaan belayar dari Pelabuhan Klang, pada 3 Februari depan.

Pesuruhjaya Daerah Cox's Bazar, Md Ali Hossain ketika ditemui menegaskan semua bantuan asing kepada pelarian Rohingya perlu membabitkan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Ketika artikel ini ditulis, flotila menerima kebenaran berlabuh di Yangon (Myanmar) tetapi masih menunggu lampu hijau dari Dhaka selepas menghantar dokumen berkaitan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

Fakta Nombor

  • 65,000 melarikan diri ke Bangladesh dari Maungdaw, Myanmar sejak Oktober lalu.
  • 500,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak 1970-an. 
KEM Kutupalong yang menempatkan pelarian etnik Rohingya sejak 1990-an. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KEBANYAKAN pelarian Rohingya yang menagih simpati itu adalah pelarian yang baru tiba di Bangladesh. - Foto Syed Azwan Syed Ali
Berita Harian X