Rabu, 25 Januari 2017 | 11:32am

2 lagi mayat mangsa bot karam ditemui

MAYAT lelaki dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI). - Foto ihsan APMM

MERSING: Dua lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, kelmarin, ditemui awal pagi tadi.  

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim, berkata kedua-dua mayat lelaki itu ditemui terapung oleh nelayan tempatan kira-kira lima batu nautika dari perairan Tanjung Sedili, dekat sini.

DUA mayat lelaki dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, kelmarin, ditemui awal pagi tadi di perairan Tanjung Sedili. - Foto ihsan APMM

"Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Jeti APMM Tanjung Sedili untuk diserahkan kepada pihak polis. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh APMM dan polis disambung semula pada jam 7 pagi tadi," katanya di sini, hari ini. 

Saiful Lizan berkata, skop pencarian di laut bermula dari perairan Tanjung Leman hingga ke Sedili Besar membabitkan kawasan seluas kira-kira 90 batu nautika, manakala pencarian di Pantai Tanjung Leman hingga ke Pantai Mersing di lokasi kira-kira 9 kilometer. 

Semalam, polis menemui empat mayat lagi yang dipercayai mangsa tragedi bot pancung yang karam itu, dan penemuan itu menjadikan jumlah mayat ditemui meningkat kepada 16 orang termasuk tujuh wanita setakat ini. 

Kelmarin, 10 mayat PATI, masing-masing empat lelaki dan enam perempuan, ditemui terdampar di Pantai Tanjung Rhu, dekat sini kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian bot pancung karam.

Bot yang membawa 40 PATI warga Indonesia itu dipercayai berlepas dari Batam pada jam 8 malam pada Ahad, sebelum terbalik dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Rhu kira-kira jam 4.30 pagi esoknya.

Berita Harian X