Rabu, 25 Januari 2017 | 2:59pm

Banjir di Sabah: Bantuan makanan dihantar melalui udara


Pemantauan keadaan banjir melalui udara oleh Skuad Drone Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah di Kampung Kabatasan Laut, Pitas. - Foto ihsan APM Sabah

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan berkaitan di negeri ini kini giat melaksanakan operasi menyalurkan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas serta terputus hubungan akibat banjir melalui pengangkutan udara.

Penghantaran bekalan makanan itu dilaksanakan melalui helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sambil dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi berkaitan lain.

Di Pitas pagi tadi, APM bersama bomba dengan bantuan RELA memunggah 400 bungkus bekalan makanan yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah untuk dihantar ke lokasi pengumpulan di beberapa kampung.

Antara penerima bantuan penghantaran bekalan makanan melalui udara itu ialah 37 keluarga di Kampung Nibang, Pitas yang terputus hubungan berikutan laluan ke kampung terbabit dinaiki air sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata operasi menghantar makanan melalui udara turut dilaksanakan semalam kepada kira-kira 1,000 penduduk daripada 396 keluarga, membabitkan 10 kampung di Pitas.

Katanya, bantuan disalurkan segera selepas agensi berkaitan mendapat maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas yang mengenal pasti penduduk 10 kampung terbabit terputus hubungan.

"Sebelum penghantaran, pihak PDRM mengadakan pemantauan awal melalui udara sebelum bekalan dihantar menggunakan helikopter, termasuk milik JBPM. Pihak APM juga menerbangkan dron untuk pemantauan lokasi dan mengenal pasti status kampung," katanya di sini, hari ini.

Setakat pagi tadi, seramai 624 mangsa daripada 221 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan yang masih beroperasi di negeri ini, masing-masing dua di Pitas dan Daerah kecil Paitan, Beluran.

Berita Harian X