Khamis, 18 Disember 2014 | 2:52pm
Erra Fazira. - Foto Munira Abdul Ghani
Datin Paduka Eina Azman bersama suami, Datuk Paduka Gmix. - Foto Munira Abdul Ghani
Allahyarham Datuk Sharifah Aini. - Foto Syed Abdullah Syed Mohamed
Keith Foo. - Foto Aziah Azmee
Hanez Suraya. - Foto Munira Abdul Ghani

Felicia Yeap selebriti Malaysia paling dicari dalam Google Trends

Felixia Yeap. - Foto Mohd Nazrulaswad Hamdan

KUALA LUMPUR: Gadis mualaf, Felicia Yeap atau nama Islamnya, Raisyyah Rania Yeap berada di carta teratas kategori selebriti Malaysia paling dicari dalam senarai 10 tertinggi Google Trends 2014 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Kisah beliau yang dulu pernah bergelar model seksi dan kini bertudung litup serta sopan menjadi perhatian ramai.

Beliau bergelar Muslimah saat melafazkan kalimah syahadah pada 3 Julai lalu. Di sebalik yang memuji niat murninya ada juga yang terus menghentam sekali gus membuka sejarah lama beliau. Beliau hanya mampu hidup tabah tanpa mahu lagi pandang ke belakang.

Di sebalik semua itu rezeki beliau juga murah apabila dilamar menjadi duta produk termasuk busana muslimah dan tudung.

Tangga kedua ialah Hanez Suraya. Kalau ada carta artis paling dibenci ramai, mungkin Hanez Suraya boleh dicalonkan.

Kisah pelakon gebu itu dikatakan menjadi orang ketiga kepada rumah tangga orang benar-benar membuatkan beliau jatuh terduduk.

Industri hiburan pernah kecoh apabila Hanez menjalin cinta dengan Romie di saat lelaki itu sedang berdepan dengan masalah rumah tangga.

Barangkali hasrat dan doa sesetengah pihak yang mahu melihat hubungan Hanez Suraya dengan Romie bernoktah seakan dimakbulkan. Hubungan mereka hanya bertahan hampir 10 bulan. Kecaman dan hentaman yang dilaluinya bukan sekecil anak. Tapi beliau terus tabah.

Tangga ketiga jatuh ke tangan hero kelahiran Malaysia dan berketurunan India-Cina, Keith Foo. Drama Ariana Rose lakonan beliau di sisi Nur Fathia benar-benar merubah drastik kehidupannya. Tetapi sebelum itu, beliau sebenarnya sudah sedekad membina nama di Indonesia.

Keith sebenarnya terlebih dulu merantau dan mencuba nasib membina nama di Indonesia sebelum Miller dan Ashraf Sinclair. Antara drama lakonannya seperti Serpihan, Cinta dan Anugerah, Manohara, Cinta Untuk Baim dan Sinar.

Beliau juga pernah berlakon dalam filem Mati Suri (2009), Paku Kuntilanak, Bidadari Jakarta (2010), Pengantin Pantai Biru (2010) dan X - The Last Moment (2011).

Berita pemergian Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 5 Julai lalu juga menjadi tumpuan.

Ramai yang menangisi pemergian permata besar tanah air ini. Beliau meninggal dunia akibat jangkitan pada paru-paru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada hari yang sama. Selain itu Erra turut menjadi fokus apabila kisah rumah tangga keduanya berakhir.

Februari lalu, Erra Fazira dan Engku Emran bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah. Mahkamah juga memberikan hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya kepada bekas suaminya.

Beberapa minggu lalu, Erra terpaksa mendedahkan dirinya sedang mengenali seseorang di kalangan orang biasa sebagai menutup kisah yang mengaitkan beliau dengan lelaki VIP. Erra kini sedang sibuk di pentas teater Takhta 3 Ratu di samping Izreen Azminda, Awie dan Soo Wincci.

Selain itu, perkahwinan pelakon Eina Azman di usia 19 tahun dengan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 35, di Hotel Grand Hyatt 31 Ogos lalu juga menjadi hits di Google. Lain-lain yang menjadi perhatian ialah perkahwinan anak Datuk Yusof Haslam, Syamsul Yusof dengan Puteri Sarah Liyana, Wak Doyok dan Joyce Chu.

Berita Harian X