Khamis, 18 Disember 2014 | 2:56pm

Terengganu tuan rumah badminton sirkit akhir kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Terengganu diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Maybank Sirkit Kebangsaan peringkat akhir 2014 pada penghujung bulan ini.

Pengerusi jawatankuasa pertandingan kecil Persatuan Badminton Terengganu, Harry Isaacs berkata kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Negeri dari 25 hingga 30 Disember.

"Ini peluang peminat badminton Terengganu untuk menyaksikan aksi pemain terbaik negara secara dekat," katanya, hari ini.

Menurut Harry, pemain yang terbabit dalam kejohanan ini adalah mereka yang mendapat mata tertinggi dalam dua kejohanan peringkat awal di Perak dan Sabah.

Katanya, antara pemain kebangsaan yang akan beraksi ialah Chong Wei Feng, Liew Darren, Chong Peng Soon, Iskandar, Zulfadli Zulkifli (lelaki )sementara wanita, Lydia Cheah dan Yang Li Lian.

Harry berkata sebanyak lima acara akan dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Hadiah wang tunai ialah RM22,000 untuk perseorangan lelaki, wanita (RM10,400), beregu lelaki (RM29,000), beregu wanita (RM14,500) dan beregu campuran (RM14,500).

Kejohanan kali ini membabitkan penyertaan 62 pemain. - BERNAMA

Berita Harian X